Monday, February 7, 2005

Dua Saintis Catat Sejarah Hasilkan Vaksin Kambing

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU 6 Feb. - Dua saintis tempatan berjaya menghasilkan vaksin menggunakan teknik semburan yang pertama di dunia bagi mencegah penyakit radang paru-paru untuk ternakan kambing dan biri-biri.

Prof. Madya Dr. Mohd Effendy Abdul Wahid dari Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem) dan Prof. Dr. Mohd. Zambri Saad dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil masa kira-kira lapan tahun untuk mengeluarkan vaksin yang dikenali sebagai KUSTEMvax itu.


Menurut Mohd Effendy, sebelum ini para penternak tempatan amat bergantung kepada vaksin yang dibekalkan dari luar negara dan teknik penggunaannya adalah melalui kaedah suntikan, selain kosnya mahal.

``Berbanding dengan vaksin yang kita hasilkan ini, ia tidak perlu melalui proses suntikan tetapi sekadar menyembur kepada kambing atau biri-biri melalui hidung. Kosnya juga lebih murah dan cara mengendalikannya lebih praktikal.

``Satu lagi keistimewaannya ialah biri-biri atau kambing yang perlu dimasukkan vaksin tidak akan merasa tekanan. Kalau melalui proses suntikan, haiwan ternakan akan lebih merasa tertekan selain kerja untuk memasukkan vaksin melalui tempoh panjang,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program lawatan singkat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh ke kampus Kustem di Mengabang Telipot, dekat sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Effendy membentangkan penemuan vaksin itu yang dihasilkan daripada bakteria `Mannheima Haemolytica' iaitu bakteria yang menjadi punca penyakit radang paru-paru pada biri-biri dan kambing serta kaedah semburan yang berjaya dihasilkan itu kepada rombongan Shafie.

Menurutnya, untuk 2,000 ternakan, proses memasukkan vaksin hanya memakan masa sehari hingga dua hari sahaja berbanding teknik suntikan yang memakan masa antara lima ke enam hari.

``Inilah kelebihan memasukkan vaksin melalui teknik semburan. Ia mudah dikendalikan. Penternak pula mudah mempelajarinya.'' katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah menguji keberkesanan vaksin itu melalui kaedah semburan di tiga ladang biri-biri iaitu di Ladang MARDI di Kluang; Ladang MARDI, Bagan Datoh dan Ladang Jabatan Perkhidmatan Haiwan di Kuala Klawang, Jelebu.

``Hasilnya, kita berjaya mengurangkan sehingga 90 peratus kematian biri-biri akibat penyakit radang paru-paru,'' ujarnya.

Mohd Effendy berkata, biasanya penyakit tersebut berlaku disebabkan perubahan cuaca.

``Vaksin itu kini telah dihantar ke agensi terbabit untuk dipatenkan. Selepas itu, Kumpulan Life Sciences akan memasarkannya untuk dikomersialkan bagi pasaran tempatan dan luar negara,'' katanya.

Sementara itu, wakil Kumpulan Life Sciences, Sazali Mohd. Nor berkata, pihaknya menjangkakan vaksin itu akan berada di pasaran tempatan dalam tempoh lima hingga enam bulan lagi.

No comments:

Post a Comment

Statistik Kambing-Wangi