Wednesday, December 12, 2007

Artikel : Halatuju Pasaran Daging Kambing Di Malaysia

Apabila membincangkan tentang pemasaran daging kambing, ramai di kalangan penternak merungut tentang ketiadaan pasaran daging kambing dan juga mengenai harga daging kambing yang tidak menentu. Ini secara tidak langsung membuatkan ramai yang berfikir panjang untuk membela kambing-kambing yang berkualiti rendah bagi tujuan sembelihan. Namun begitu fenomena ini di lihat tidak lagi berpanjangan sejak akhir-akhir
 ini apabila segelintir penternak telah menemui satu kaedah iaitu dengan mewujudkan kedai-kedai yang khusus menjual daging kambing. Ini sekurang-kurangnya dapat memberi satu petunjuk bahawa penternakan kambing di negara ini masih lagi memberi keuntungan yang lumayan.

Walau bagaimanapun masalah utama yang dihadapi oleh penternak di negara ini ialah kemampuan mereka untuk menghasilkan dan membekalkan daging kambing secara konsisten. Sekiranya jaringan kedai-kedai ini ingin mencuba sesuatu yang baru di dalam industri daging kambing ini seperti contoh daging kambing muda (kid’s meat), maka mereka tentunya mahukan jaminan bekalan yang mencukupi untuk menjadikan promosi ini sesuatu yang menguntungkan.

Dahulu kebanyakkan kambing dibela secara kecil-kecilan. Ini telah menimbulkan masalah bagi mendapatkan bekalan daging kambing yang mencukupi. Kini ramai di kalangan penternak telah mula menternak secara besar-besaran atau lebih dikenali sebagai komersil. Perubahan ini telah memberi satu petunjuk yang memungkinkan bekalan yang berterusan boleh dicapai sepanjang tahun.

Sebagai alternatif, sekumpulan penternak boleh bergabung sesama sendiri untuk mewujudkan satu koperasi di mana kambing ini diternak hanya di sebuah ladang sahaja. Tidak mustahil sekiranya ini terjadi maka koperasi ini boleh memohon geran-geran yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu kumpulan-kumpulan seperti ini. Walau apa pun yang dilakukan, ia amat penting untuk merancang pembiakkan kambing agar bekalan daging kambing yang berterusan dapat dicapai.

Mempromosikan daging kambing muda (kid’s meat) mungkin dipandang serong oleh sesetengah pihak. Negara kita masih lagi agak terkebelakang berbanding negara seperti Australia di dalam mempromosikan daging kambing muda ini kepada masyarakat. Sesuatu yang boleh dilakukan ialah dengan memberitahu tentang khasiat dan karakteristik daging kambing muda ini. Seorang pakar yang telah lama berkecimpung di dalam daging kambing ini memberitahu bahawa daging kambing muda ini terlalu berkualiti sehinggakan ada yang sanggup menawarkan harga yang tinggi untuk membelinya. Saintis di Institut Penyelidikan Daging di Bristol telah membuat satu penemuan yang penting di dalam daging kambing. Beliau menyatakan bahawa daging kambing mempunyai nilai pH yang tinggi berbanding daging-daging yang lain yang membuatkan daging kambing ini agak gelap dan mempunyai kadar kapasiti menyimpan air yang agak tinggi. Ini memberi satu petunjuk bahawa daging kambing ini sesuai di dalam industri memproses makanan. Di sini dapat disimpulkan bahawa terdapat satu peluang yang besar di dalam industri pembuatan makanan berasaskan daging kambing di negara ini.

Akhir kata, di dalam pemasaran apa yang paling penting ialah kebolehan untuk membekalkan daging kambing dengan kualiti yang tinggi, size dan jenis karkas yang tidak jauh berbeza. Industri penternakan kambing di negara ini mungkin akan mencapai satu tahap di mana semua kehendak ini dapat dicapai.

(Diterjemahkan dari buku Goat Farming oleh Alan Mowlem)

No comments:

Post a Comment

Statistik Kambing-Wangi